IPOH - [DIKEMAS KINI] Ribuan warga Ipoh berhimpun secara aman pada program rapat umum #JusticeForZara di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz atau Padang Polo di sini pada Sabtu.
Himpunan anjuran Sekretariat Mahasiswa Bertindak Justice for Zara Negeri Perak itu diadakan bagi menyatakan solidariti menuntut keadilan atas kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, 13.
Program yang bermula jam 9 malam itu dimulakan dengan solat hajat dan bacaan doa, sebelum beberapa mahasiswa tampil berucap memberikan sokongan dan solidariti kepada Allahyarham.
Peserta melaungkan takbir 'Allahu Akbar' sambil mengangkat plakad dan sepanduk bertulis mesej seperti 'Justice For Zara', 'Kami Mahu Keadilan Untuk Adik Zara', 'Keadilan Bukan Untuk Didiamkan', 'Keadilan Adalah Untuk Ditegakkan' dan 'Hentikan Buli Sekarang'.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Hafez Sabri; ADUN Pengkalan Hulu, Mohamad Amin Roslan serta ADUN Titi Serong, Hakimi Hamzi Mohd Hayat.
Difahamkan, himpunan serentak turut berlangsung di Menara Condong, Teluk Intan.
Sementara itu, penyelaras program, Azamuddin Hawari berkata, himpunan itu dianjurkan bagi menyuarakan harapan rakyat agar siasatan dijalankan secara telus.
"Kita lihat kes Zara Qairina masih belum selesai hingga mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat bermula dari Sabah hingga ke Perak.
"Inilah cetusan rasa solidariti rakyat Perak yang menuntut keadilan buat Allahyarham Zara Qairina," katanya.
Beliau menambah, himpunan sama dijangka diteruskan pada malam ambang Merdeka hujung bulan ini dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negeri.