SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memperuntukkan RM1 juta kepada Akademi Literasi al-Quran Selangor bagi memperkukuh usaha melahirkan masyarakat celik serta mahir al-Quran.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dana itu akan digunakan untuk memperkukuh pengajaran, melatih guru berkualiti, membangunkan modul inovatif selain memperluas capaian pembelajaran al-Quran di seluruh negeri.
“Program pengajian turut akan dilaksanakan di daerah terpilih seperti Kuala Selangor, Sabak Bernam, Batang Kali, Sepang dan Gombak agar manfaat pendidikan berteraskan al-Quran dapat dinikmati secara lebih menyeluruh.
“Kita tidak mahu ilmu al-Quran menjadi hak eksklusif segelintir, tetapi menjadi warisan bersama seluruh rakyat Selangor,” katanya ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Ke-23 Akademi Literasi al-Quran Selangor di sebuah hotel di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, dalam kerangka Negeri Madani, Selangor meletakkan al-Quran sebagai tunjang pembinaan modal insan kerana kemakmuran negeri bukan sahaja diukur pada pembangunan fizikal, sebaliknya pada kesuburan akhlak, keteguhan akidah dan ketinggian ilmu yang diwariskan kepada generasi akan datang.
Menteri Besar turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), pegawai tadbir agama daerah, nazir masjid serta pensyarah yang berganding bahu menjayakan misi literasi al-Quran di negeri ini.
“Pengorbanan tuan-tuan dan puan-puan bukan sahaja membina kecemerlangan akademik, malah membentuk jiwa dan akhlak umat, satu jasa yang nilainya lebih tinggi daripada segala harta dunia,” ujarnya.
Mengulas mengenai graduan akademi itu, beliau menegaskan ilmu yang dimiliki bukan penamat, sebaliknya permulaan untuk menyebarkan cahaya al-Quran ke seluruh masyarakat.
“Kita mahu setiap pelajar bukan sahaja mahir membaca al-Quran mengikut riwayat Hafs ‘An ‘Asim dengan tajwid sempurna, tetapi juga mampu menghayati, mengamalkan dan memperseni al-Quran dalam kehidupan seharian,” ujarnya.
Beliau menyeru warga pendidik, pelajar, pegawai, pemimpin serta masyarakat bersama-sama memastikan al-Quran terus hidup di hati rakyat Selangor dengan menjadikan rumah, masjid dan pusat pengajian sebagai taman-taman syurga di dunia.
Majlis konvokesyen itu menyaksikan seramai 829 graduan diraikan setelah berjaya menamatkan pengajian mereka di Akademi Literasi al-Quran Selangor.