SAMUT PRAKAN – Seorang lelaki menyamar sebagai penghantar makanan melarikan barang kemas bernilai lebih 8 juta baht (lebih RM1 juta) dari sebuah kedai emas di pusat membeli-belah dekat sini, pada Khamis.
Dalam kejadian jam 3.50 petang itu, pengurus kedai emas itu memaklumkan suspek melarikan 59 utas barang kemas sebelum menyerahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kepada polis.
Rakaman menunjukkan suspek memakai seragam penghantar makanan dan topi keledar motosikal bagi menyembunyikan identiti.
Lelaki itu bertindak pantas menghampiri kaunter sambil mengacukan pistol dan mengugut pekerja supaya menyerahkan dulang emas.
Menerusi rakaman sama, pekerja wanita berundur dari kaunter disebabkan ketakutan, sekali gus membolehkan suspek melompat masuk dan merampas emas yang dipamerkan sebelum melarikan diri menaiki motosikal berwarna hitam.
Menurut pekerja, suspek sempat menjerit meminta diberikan emas, namun mereka tidak mengendahkan arahan itu.
Bagaimanapun, pekerja memaklumkan bahawa mereka juga tidak pernah melihat suspek sebelum ini.
Seorang pengawal keselamatan berkata, suspek masuk ke pusat beli-belah sambil memakai topi keledar dan tidak menghiraukan araham apabila diminta menanggalkannya.
Menurutnya, suspek terus menuju ke kedai emas sebelum mengeluarkan senjata api.
Polis kini sedang meneliti rakaman CCTV untuk mengesan suspek yang dipercayai melarikan diri ke arah Jalan Bang Na-Trat.