Maut terkena renjatan elektrik ketika rakam matahari terbenam

Iklan
Seorang lelaki maut selepas terkena renjatan elektrik ketika memanjat pencawang elektrik di puncak Gunung Datong, Shulin, Taiwan pada Khamis. Foto TVBS

TAIPEI – Seorang lelaki maut selepas terkena renjatan elektrik ketika memanjat pencawang elektrik di puncak Gunung Datong, Shulin, Taiwan ketika ingin mengambil gambar matahari terbenam pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa berusia 20 tahun dilaporkan terjatuh dari ketinggian 15 meter sebelum mayatnya ditemui di celah struktur menara berkenaan.

Iklan
Iklan

Saksi berkata, mangsa yang memakai baju putih dilihat berdiri di atas pencawang sambil memegang telefon bimbit bagi merakam pemandangan.

Bagaimanapun, pemuda itu dipercayai tersentuh kabel voltan tinggi sehingga berlaku letupan kuat.

Iklan

Renjatan itu menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri lalu terjatuh.

Percikan api daripada insiden berkenaan turut mencetuskan kebakaran rumput di puncak gunung yang boleh dilihat dari beberapa kilometer.

Iklan

Kebakaran tersebut turut menyebabkan dua kediaman berdekatan mengalami gangguan bekalan elektrik.

Teman wanita mangsa yang hanya dikenali sebagai Shang, segera menghubungi pihak berkuasa selepas menyaksikan kejadian tragis itu.

Menurut media tempatan, pihak polis menerima laporan insiden pada jam 6.33 petang dan siasatan lanjut sedang dijalankan.