PENYANDANG juara Liverpool membuka tirai Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan penuh debaran selepas menundukkan Bournemouth 4-2 di Anfield, awal pagi Sabtu.
Perlawanan sebelum itu berlangsung dalam suasana emosi apabila penghormatan diberikan kepada penyerang Liverpool, Diogo Jota yang maut dalam kemalangan Julai lalu.
Iklan
Iklan
Pengendali Arne Slot menurunkan empat muka baharu, termasuk Hugo Ekitike, yang meledak gol pertama pada minit ke-37 sebelum membantu Cody Gakpo menggandakan kedudukan awal separuh masa kedua.
Namun, suasana bertukar panas apabila pengadil Anthony Taylor menghentikan permainan sementara selepas penyerang Bournemouth, Antoine Semenyo, mendakwa dirinya menjadi mangsa ejekan perkauman.
Semenyo kemudian membalas di padang dengan dua jaringan minit ke-64 dan 76 untuk mengikat kedudukan 2-2, sekali gus hampir menghadiahkan satu mata buat The Cherries.
The Reds bagaimanapun bangkit di hujung permainan menerusi gol sulung Federico Chiesa minit ke-88, sebelum Mohamed Salah memastikan kemenangan dengan penyudah kemas di depan The Kop.
Tiga mata awal di laman sendiri ternyata melegakan penyokong The Reds, sekali gus memberi isyarat awal bahawa misi mempertahankan kejuaraan liga musim ini sudah bermula.