Polis bantuan ditahan ceroboh surau

Iklan
Suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan saringan air kencing didapati negatif.

KLUANG – Seorang polis bantuan ditahan kerana dipercayai menceroboh sebuah surau di Kampung Rahmat, Sri Lalang, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian itu disedari penduduk sebelum memaklumkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pada jam 1.26 pagi.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kluang kemudian melaksanakan Ops Cantas di lokasi pada jam 2.15 pagi.

“Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 20-an dan pemeriksaan mendapati tombol pintu surau telah dirosakkan untuk menceroboh masuk ke dalam surau.

Iklan

“Bagaimanapun pemerikasaan mendapati tiada barang yang hilang,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Bahrin memberitahu, siasatan mendapati suspek bekerja sebagai polis bantuan dalam sebuah kawasan estet di sini dan tujuannya datang ke surau adalah untuk tidur.

Iklan

“Namun selepas nampak kehadiran polis di luar, lelaki tersebut cemas dan disyaki merosakkan tombol pintu bilik azan surau.

"Berdasarkan keterangan diambil daripada ibunya, suspek sememangnya suka tidur dalam berlainan surau.

“Suspek tiada sakit mental cuma sedikit lembam dan suka bergaul dengan budak-budak,” ujarnya.

Jelasnya, suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan saringan air kencing didapati negatif sebarang penggunaan dadah.

Beliau memberitahu, suspek direman selama empat hari bermula Jumaat dan kes disiasat bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan.