KUALA LUMPUR – Polis tidak akan bertolak ansur sekiranya berlaku sebarang pelanggaran undang-undang sepanjang berlangsungnya Himpunan Demi Zara yang akan diadakan di hadapan pusat beli belah Sogo pada Jumaat.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya mengingatkan agar peserta himpunan mematuhi peraturan ditetapkan.
Iklan
Iklan
"Kita akan permudahkan tapi jangan ambil peluang dan jangan lakukan tindakan di luar undang undang.
"Tidak mematuhi arahan, kita akan ambil tindakan segera dan kita sama sekali tidak akan bertolak ansur sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang," katanya ringkas pada Sabtu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seramai 40 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditugaskan bagi memantau kelancaran himpunan Demi Zara Qairina di hadapan pusat beli-belah Sogo di sini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, penugasan itu bagi memastikan keselamatan orang awam dan peserta perhimpunan terjamin.
Terdahulu, tular hantaran di media sosial berkaitan himpunan Demi Zara Qairina yang dipercayai dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di hadapan pusat beli belah berkenaan.