BUTTERWORTH - Seorang penghantar barangan kurier direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes ragut melibatkan seorang wanita warga emas di Bagan Lalang di sini, pada Khamis.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Balqis Roslin terhadap suspek berusia 30 tahun bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi, mangsa berusia 70 tahun sedang menyiram pokok bunga di hadapan rumah sebelum dihampiri suspek yang menaiki kereta jenis Proton Iriz, kononnya untuk menghantar bungkusan secara bayaran tunai (COD).
Mangsa kemudian masuk ke rumah untuk mengambil wang RM31 untuk diserahkan kepada suspek namun lelaki itu kemudian dikatakan bertindak menggenggam tudung mangsa di bahagian leher sebelum meragut rantai emas mangsa.
Berikutan itu berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek hingga menyebabkan rantai itu terputus tiga bahagian sebelum suspek sempat melarikan diri bersama satu bahagian rantai dan wang COD berjumlah RM31.
Bertindak atas maklumat, polis menahan suspek di rumahnya di Taman Merak, Kulim, Kedah kira-kira jam 11 malam pada hari yang sama.
Difahamkan, suspek melakukan perbuatan itu kerana wang pelanggan COD yang dipegangnya telah habis digunakan untuk pelaburan Forex dan perjudian hingga menyebabkan dia terdesak mencari wang segera bagi menggantikannya kepada syarikat kurier.
Ketika ditahan, polis merampas resit jual beli emas atas nama suspek, wang tunai RM1,270 serta sebuah kereta Proton Iriz yang digunakan ketika kejadian.