Langkah sementara berkesan bendung inflasi kos perubatan, premium insurans - Gabenor BNM

Iklan
Pada Disember lalu, BNM mengumumkan langkah sementara bersama industri insurans dan takaful bagi membantu pemegang polisi yang berdepan semakan semula premium untuk produk MHIT mereka. Gambar hiasan (Gambar kecil: Abdul Rasheed)

KUALA LUMPUR - Langkah sementara bagi menguruskan kenaikan kos perubatan dilihat kekal berkesan, berikutan inisiatif berterusan yang akan mengukuhkan perkhidmatan penjagaan kesihatan serta membantu membendung inflasi premium insurans perubatan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata, dalam tempoh tiga tahun ini, kerajaan telah melaksanakan lima teras utama dan 11 cadangan yang bermatlamat untuk menambah baik perkhidmatan perubatan, meningkatkan pelaksanaan serta menangani kenaikan kos premium insurans kesihatan.

Iklan
Iklan

“Sebagai contoh, kami sedang merombak semula produk insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT). Anda mungkin dapat melihat produk asasnya, dan kini kami sedang mengujinya secara berperingkat,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2025 di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata, rombakan MHIT melibatkan penambahbaikan produk asas, yang dijangka siap menjelang hujung tahun ini dan akan dilaksanakan di kawasan terpilih pada tahun hadapan.

Iklan

Inisiatif lain, ujarnya, merangkumi usaha memperkukuh sistem kesihatan digital, memperluas pilihan penjagaan kesihatan yang menjimatkan kos, memanfaatkan penyedia penjagaan primer bagi mengurangkan kos pelaksanaan, serta mentransformasi mekanisme pembayaran penjagaan primer menggunakan peralatan digital.

“Segala usaha ini dijangka dapat mengurangkan kos pembayaran dan memastikan sistem penjagaan kesihatan yang lebih mampan,” kata Abdul Rasheed.

Iklan

Pada Disember lalu, BNM mengumumkan langkah sementara bersama industri insurans dan takaful bagi membantu pemegang polisi yang berdepan semakan semula premium untuk produk MHIT mereka, bertujuan mengurangkan beban kewangan segera mereka sambil mengekalkan perlindungan. - Bernama