BUTTERWORTH - [DIKEMAS KINI] Seorang pembantu kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun pada 1 Ogos lalu.
Mohamad Yusri Hafiez Yahya, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah merogol remaja perempuan berkenaan di sebuah rumah di Bandar Putra Bertam, Kepala Batas di sini pada jam 2 pagi.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Ketika prosiding, Muhammad Rifaie tidak menawarkan sebarang jaminan dengan mengambil kira hubungan tertuduh yang merupakan kawan kepada mangsa.
"Bagaimanapun sekiranya mahkamah membenarkan jaminan saya mencadangkan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis," katanya.
Dalam rayuan, tertuduh memaklumkan kepada mahkamah yang dia hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan RM1,500 sebulan selain perlu menanggung ibu bapa.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu lapor diri di balai polis setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa termasuk saksi pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 24 September depan bagi mendapatkan laporan perubatan.