Murid prasekolah cedera ditolak rakan stabil, jalani pembedahan 7 jam

Iklan
Khairin-Nisa (kanan) menyantuni ibu Aisyah Sofia yang sedang dirawat di HSA Johor Bahru. -Foto: Facebook Khairin-Nisa

JOHOR BAHRU – Kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang mengalami pendarahan di kepala dipercayai akibat terjatuh selepas ditolak rakan di sekolah kini berada dalam keadaan stabil dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, pembedahan yang dilakukan pada Selasa lalu mengambil masa tujuh jam.

Iklan
Iklan

"Saya telah menziarahi keluarga seorang murid prasekolah yang kini menerima rawatan di HSA akibat kecederaan pada bahagian kepala selepas terjatuh di tapak perhimpunan sekolah pada Isnin.

"Difahamkan, kejadian berlaku sekitar jam 6.45 petang ketika murid menemani ibunya, seorang guru prasekolah yang sedang membuat persiapan pentas bersama ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk program sambutan hari lahir peringkat sekolah.

Iklan

"Ketika bermain bersama rakan sebaya, murid telah terjatuh. Keadaan kelihatan normal tanpa kecederaan luaran sehingga malam, namun sekitar jam 2 pagi murid didapati tidak sedarkan diri," katanya dalam muat naik di laman Facebooknya.

Khairin-Nisa (kanan) menyantuni ibu Aisyah Sofia yang sedang dirawat di HSA Johor Bahru. -Foto: Facebook Khairin-Nisa

Iklan

Kharin-Nisa memberitahu murid berkenaan kemudiannya dibawa ke Hospital Mersing sebelum dirujuk ke HSA.

"Pemeriksaan mendapati terdapat keretakan serta pendarahan di bahagian kepala.

"Pada Selasa, pembedahan telah dijalankan selama lebih tujuh jam untuk mengeluarkan pendarahan tersebut dan kini murid berada di bawah pemerhatian rapi pihak hospital," ujarnya.

Hadir sama menziarahi murid terbabit ialah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor, Ahmad Hashim Selamat dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor Mohd Hanafi Samad.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan seorang ibu memohon orang ramai mendoakan anaknya yang sedang bertarung nyawa selepas dipercayai ditolak rakan.

Pengguna Facebook bernama Zalinda Lin berkata, tempurung kepala anaknya, Aisyah Sofia Rohaizan retak dan berlaku pendarahan dalam kepala.

Dalam hantaran sama, Zalinda turut memuat naik sekeping gambar memaparkan anaknya yang memakai pakaian seragam sekolah rendah.

Hantaran tersebut mendapat lebih 13,000 perkongsian, dengan lebih 3,000 komen yang rata-rata mendoakan kesembuhan buat kanak-kanak tersebut.

Zalinda turut mendoakan agar anaknya diberikan kesembuhan selain kembali ceria seperti sediakala.