'Tidaklah sama, hanya mirip sekali imbas' - Wanita kongsi wajah anak seakan Zara Qairina

Iklan
Foto dari kiri: Marsya Ilmi, Allahyarham Zara Qairina

SHAH ALAM – “Kalau nak kata sama persis, tidaklah sangat, cuma mirip sekali imbas sahaja.”

Demikian kata Maria Liza Noriozaman apabila segelintir pengguna media sosial mengatakan wajah anak sulungnya, Marsya Ilmi Zairul, 19, salin tak tumpah seperti Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Iklan
Iklan

Penolong pegawai tadbir itu berkata, dia pada mulanya tidak menjangka anaknya disamakan dengan Zara Qairina selepas gambar tersebut dikongsikan dalam grup WhatsApp keluarga.

Meskipun ada segelintir warga maya yang kurang bersetuju dengan perbandingan itu, dia dan keluarga mengambil pendekatan positif terhadap setiap komen yang dilontarkan, asalkan tiada unsur hinaan.

Iklan

“Bila saya tengok (gambar), Ya ALLAH, rasa macam berderau jantung sebab ada yang kata muka Marsya seperti Zara Qairina, tetapi tidaklah sama 100 peratus. Jadi, saya kongsikan di Facebook.

“Saya ambil pendekatan positif sahaja terhadap setiap komen mengenai gambar arwah dan Marsya. Cuma secara peribadi, usahlah dibandingkan keperibadian mereka kerana anak saya pun ada karakternya yang tersendiri,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Hantaran dimuat naik ibu anak tiga itu di Facebook pada Rabu. Foto Facebook Maria Liza

Ibu kepada tiga cahaya mata itu memaklumkan, timbul kerisauan dalam hati apabila wajah anaknya disamakan dengan arwah memandangkan Marsya kini masih belajar dan menetap di asrama sebuah sekolah di Gerik, Perak.

“Saya sebagai ibu ada juga rasa risau sebab kita semua mengikuti kes Zara Qairina sejak awal lagi. Setiap kali bila dengar cerita pasal Zara Qairina, memang menangislah sebab kita membayangkan anak kita.

“Dalam masa sama, ada juga yang mendoakan dan mereka sentiasa ingat bahawa #JusticeforZara tidak terhenti di situ, jadi saya ambil yang positif sahaja,” ujarnya.

Ditanya tentang kesudian sekiranya ibu Zara Qairina iaitu Noraidah Lamat ingin berjumpa anaknya bagi melepaskan rindu, Maria Liza memberitahu pihaknya terbuka dengan perkara tersebut.

“Saya tiada masalah, cuma mungkin dari segi kekangan masa dan jarak perjalanan memandangkan kami tinggal di Sungai Buloh, anak saya pula bersekolah di Gerik.

“Insya-ALLAH saya okey sahaja. Kalau lihat gambar mungkin kebetulan sama, tetapi secara realitinya tidak pasti kerana pandangan setiap orang berbeza-beza.

“Apa pun, semoga sang ibu sentiasa diberikan kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi ujian ini kerana tiada mak yang ingin kehilangan anak,” katanya lagi.