Singapura raikan 60 tahun persahabatan bersama Malaysia

Iklan
Suruhanjaya Tinggi Republik Singapura di Kuala Lumpur meraikan ulang tahun ke-60 Hari Kebangsaan Singapura dan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Singapura di sebuah hotel pada Khamis.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Tinggi Republik Singapura di Kuala Lumpur meraikan ulang tahun ke-60 Hari Kebangsaan Singapura dan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia–Singapura menerusi satu majlis resepsi di Hotel Shangri-La di sini malam tadi.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai tetamu kehormat bagi meraikan detik bersejarah tersebut.

Iklan
Iklan

Lebih 1,500 tetamu termasuk wakil kerajaan, komuniti perniagaan, kor diplomatik dan rakyat Singapura yang menetap di Malaysia hadir memeriahkan sambutan itu.

Pada tahun ini, tetamu menerima cenderamata magnet istimewa memaparkan maskot ‘SingaMau’ yang direka khas sempena memperingati ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik tersebut.

Iklan

Bertemakan Bersejahtera Bersama, majlis itu menonjolkan hubungan yang semakin erat antara kedua-dua negara sejak enam dekad lalu melalui mural dinding bertema makanan, persahabatan, permainan, kerjasama, perayaan dan keterhubungan yang memaparkan perjalanan hubungan dua hala dari dahulu hingga kini.

Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon berkata, hubungan Malaysia–Singapura terjalin bukan sahaja kerana kedudukan geografi yang bersebelahan, malah turut diikat oleh sejarah bersama, warisan budaya yang sama dan hubungan rakyat dengan rakyat yang kukuh.

Iklan

“Seperti pepatah Melayu, jiran sepakat membawa berkat; apabila jiran bersatu, keberkatan akan bertambah,” katanya.

Tetamu turut dihiburkan dengan persembahan kumpulan pemuzik Artusik dari Singapura yang memainkan gabungan lagu popular dan karya asal menggunakan pelbagai instrumen berbilang kaum, berkolaborasi bersama pelajar Fakulti Muzik Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Selain itu, Suruhanjaya Tinggi Singapura dan Lembaga Pelancongan Singapura turut bekerjasama dengan artis Singapura, ALYPH, dan artis Malaysia, SonaOne, menerusi inisiatif media sosial yang memaparkan kedua-dua artis itu memasak bersama sambil berkongsi persahabatan mereka yang terjalin melalui minat terhadap muzik.