KUALA LUMPUR – Tindakan tegas pemotongan bekalan elektrik dikenakan ke atas 10 premis perjudian di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, Ops Dadu Khas pada jam 10 pagi itu dijalankan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Menurutnya, tindakan pemotongan elektrik dilakukan di bawah Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 bagi tujuan mengelakkan premis terbabit aktif menjalankan aktiviti perjudian semula.
“Semasa pemotongan bekalan elektrik didapati premis tidak berpenghuni dan operasi dijalankan dengan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku,” katanya kepada pada Khamis.
Mengulas mengenai modus operandi premis judi terbabit, beliau berkata, terdapat premis yang berselindung di sebalik premis snuker dan rumah sewa.
Tambahnya, kegiatan terbabit dipercayai telah beroperasi sejak dua bulan lalu dan hanya pelanggan tetap dibenarkan masuk selain premis yang diawasi kamera litar tertutup (CCTV) serta pintu besi bagi menyukarkan dikesan pihak berkuasa.
Tegasnya, masyarakat diminta memberi kerjasama kepada pihak polis dengan menyalurkan maklumat mengenai aktiviti perjudian dalam usaha membanteras kegiatan terbabit.