KOTA KINABALU - Ribuan jemaah hadir di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, di sini, bagi mengadakan solat hajat khas, bacaan tahlil dan doa untuk Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, yang meninggal dunia pada 17 Julai lalu.
Majlis tersebut turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman; Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor; serta barisan menteri Kabinet negeri termasuk Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Exco Agama serta Exco Pendidikan, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.
Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS) menetapkan malam Khamis untuk semua masjid dan surau di negeri ini mengadakan majlis tahlil dan doa bagi kesejahteraan Allahyarham Zara Qairina.
Pengerusi Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Paiman Karim berkata, majlis dimulakan selepas solat Maghrib dengan bacaan surah Yasin, doa dan seterusnya solat hajat.
“Malam ini kita adakan bacaan tahlil, doa dan solat hajat kepada arwah, mudah-mudahan rohnya dicucuri rahmat dan diterima segala amalannya.
“Kami di Masjid Bandaraya berkumpul di sini bagi tujuan tersebut. Semua jemaah, iaitu orang ramai, akan turut dijamu makanan selepas majlis ini nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Khamis.
Sebelum itu, Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri selepas dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).
Kematian pelajar Tingkatan Satu itu mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk di media sosial, selepas ia didakwa mempunyai kaitan dengan kejadian buli di sekolah berkenaan.