Rakaman CCTV beri petunjuk serangan anak Rafizi - Polis

Iklan
Shazeli. Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

SHAH ALAM - Polis telah memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung suspek yang menyerang anak bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, rakaman CCTV tersebut memberi petunjuk baharu kepada polis mengenai laluan yang digunakan dua suspek yang menaiki motosikal.

Iklan
Iklan

“Kami akan meneliti rakaman tersebut serta laluan yang digunakan suspek bagi mengesan mereka.

“Suspek memakai pakaian gelap, topi keledar serta visor," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini pada Khamis.

Iklan

Shazeli berkata, susulan kejadian ini, satu kertas siasatan telah dibuka.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 352 akta sama," jelasnya.

Iklan

Tambahnya, siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh melibatkan pelbagai aspek oleh Polis Kontinjen Selangor dengan bantuan daripada Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.

"Fokus siasatan meliputi pelbagai sudut, termasuk usaha mengenal pasti motif kejadian serta objek yang digunakan oleh suspek.

"Setakat ini, suspek masih belum dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang giat dijalankan. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa," ujarnya.

Shazeli berkata, masyarakat dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian sehingga boleh menyebabkan kegusaran serta tindakan provokasi tanpa kawalan.

"Sekiranya mempunyai sebarang maklumat yang berkaitan, boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Mahafiz Mat Lawi di talian 010-2396533 atau berhubung dengan Ketua Polis Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman di talian 012-2153239," katanya.