SHAH ALAM - Polis belum menerima laporan berhubung pendedahan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkaitan mesej ugutan yang diterima isterinya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya meminta agar laporan polis rasmi dibuat Ahli Parlimen Pandan tersebut.
"Bagaimanapun siasatan tetap dijalankan dalam aspek berkenaan. Kita minta beliau membuat laporan polis berkaitan kes itu untuk tindakan seterusnya serta membantu siasatan.
"Siasatan memang kita buat, apa maklumat yang kita terima kita akan jalankan siasatan untuk mengesahkannya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini pada Khamis.
Terdahulu, media melaporkan Rafizi mendedahkan pada sidang akhbarnya di Parlimen bahawa isterinya menerima mesej ugutan pada jam 1.12 pagi dan 11.02 pagi tadi.
Antara kandungan mesej itu adalah"Diam, andai teruskan AIDS," ditambah dengan emoji syringe (picagari).
Tegas Shazeli, pihaknya akan mengesan nombor telefon yang digunakan bagi menghantar mesej tersebut.
Beliau turut memaklumkan, setakat ini picagari yang digunakan dua suspek dalam serangan tersebut masih belum ditemui pihaknya.