SEPANG - Polis sedang buru dua individu disyaki terlibat dalam kes anak lelaki bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli di sebuah pusat beli-belah di sini pada Rabu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, setakat ini, polis belum mengenal pasti dua suspek berkenaan.
"Setakat ini, penyerang masih kekal dua individu dan belum dikenal pasti. Siasatan lanjut mendapati dua individu terbabit dikesan menaiki motosikal yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.
"Kita juga sedang mendapatkan keterangan saksi dan petunjuk yang ada di kawasan kejadian," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Shazeli berkata, pihaknya juga sedang menunggu laporan perubatan daripada pihak hospital.
"Kita masih belum mengenal pasti cecair yang didakwa digunakan dalam jarum suntikan dalam kejadian terbabit.
"Anak Rafizi telah dibenarkan keluar dari hospital semalam," katanya.
Menurutnya, polis sedang menjalankan siasatan daripada pelbagai sudut.
"Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 352 dan 324 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak," katanya.
Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan dalam kejadian pada jam 2 petang itu, anak Ahli Parlimen Pandan berusia 12 tahun itu, difahamkan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.
Shazeli dilaporkan berkata, kejadian berlaku di tempat menurunkan dan mengambil penumpang di pusat beli-belah berkenaan.
Sementara itu, Rafizi dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan anaknya diserang dengan cara diheret dan disuntik dengan jarum suntikan di pusat beli-belah tersebut.
Rafizi berkata, kejadian berlaku ketika beliau, isteri dan anaknya mahu memasuki kereta untuk meninggalkan pusat membeli belah berkenaan.
Menurutnya, serangan tersebut melibatkan dua orang lelaki yang berpakaian hitam sepenuhnya dan bertopi keledar yang menutup muka keseluruhannya.