KUALA LUMPUR - Polis sedang menjalankan siasatan berhubung insiden pergaduhan membabitkan sekumpulan individu di kawasan trak makanan (food truck) di luar perkarangan stadium di ibu negara pada Rabu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Ridzuan Khalid berkata, kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 11.15 malam dan dimaklumkan oleh petugas stadium sebelum anggota polis digerakkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, pasukan polis mendapati keadaan telah kembali tenang dan kumpulan terlibat sudah bersurai.
“Setakat ini, tiada kecederaan atau kemalangan dilaporkan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut Ridzuan, video kejadian turut dirakam oleh orang awam dan disebarkan menerusi fungsi ‘airdrop’, namun individu yang merakam kejadian belum dapat dikenal pasti atau dihubungi.
“Pergaduhan itu tidak membabitkan mana-mana kumpulan penyokong pasukan bola sepak.
“Pelaku tidak dapat dikenal pasti kerana telah bersurai sebaik polis tiba,” katanya.
Menurutnya, sehingga kini, tiada laporan polis diterima berhubung kejadian tersebut.
"Orang ramai yang ada maklumat berkait kejadian itu diminta tampil untuk membuat laporan polis," katanya.