MELAKA - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Hang Tuah Jaya mengecam sekeras-kerasnya serangan fizikal terhadap anak kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Ketua Penerangannya, Ezal Zamri berkata, perbuatan itu disifatkan sebagai tindakan pengecut yang bukan sahaja melanggar undang-undang, malah menyalahi batas kemanusiaan serta nilai moral masyarakat.
“Menyerang ahli keluarga, apatah lagi anak yang tidak terlibat dalam politik, adalah perbuatan hina dan memalukan.
“Undang-undang negara mesti ditegakkan demi mengelakkan budaya keganasan daripada membarah dan merosakkan keamanan negara," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau menuntut pihak polis menjalankan siasatan segera dan membawa pelaku ke muka pengadilan tanpa sebarang kompromi.
"Rakyat Malaysia juga perlu menolak budaya politik kotor serta mengamalkan hujah dan perbincangan berhemah dalam menangani perbezaan pandangan," ujarnya lagi.
Tegasnya, insiden itu bukan sekadar jenayah tetapi satu pengkhianatan terhadap nilai kemanusiaan, dan sama sekali tidak boleh dimaafkan.
Media sebelum ini melaporkan anak kepada Ahli Parlimen Pandan itu diserang dengan cara diheret dan disuntik dengan jarum suntikan di pusat beli-belah di Putrajaya sekitar jam 1.45 tengah hari Rabu.
Rafizi berkata, kejadian berlaku ketika beliau, isteri dan anaknya mahu memasuki kereta untuk meninggalkan pusat beli-belah berkenaan.