JOHOR BAHRU - Sebuah treler terbabas lalu merempuh sebuah kenderaan di Plaza Tol Perling menghala ke Gelang Patah pada Rabu.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut pada jam 5.30 petang.
"Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah treler jenis Volvo FM12 yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 26 tahun dari arah Perling menuju ke Gelang Patah.
"Ketika menghampiri Plaza Tol Perling hala ke Gelang Patah, treler tersebut tersebut mengalami kerosakan brek angin.
"Akibatnya, treler tersebut terbabas di lorong plaza tol tersebut lalu melanggar sebuah kenederaan jenis Perodua Aruz 1.5X yang dipandu seorang wanita tempatan berusia 39 tahun," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Balveer Singh, perlanggaran itu menyebabkan kereta terbabit mengalami kerosakan pada bahagian pintu, pelindung lumpur (mudguard) dan bumper sebelah kiri.
Bagaimanapun katanya, kedua-dua pemandu dilaporkan tidak mengalami kecederaan dalam insiden berkenaan.
"Kemalangan disiasat bawah Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana gagal mengawal kenderaan ketika mamandu sehingga menyebabkan kemalangan dan boleh dikompaun sebanyak RM300," katanya.