Ganggu, serang keluarga ahli politik tindakan pengecut, jijik - Lih Kang

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Rabu. Foto kecil: Lih Kang

SHAH ALAM - Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang mengecam sekeras-kerasnya serangan kejam terhadap anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang didakwa sebagai tindakan jelas terancang dan bersasar.

Menurutnya, mengganggu atau menyerang keluarga ahli politik adalah perbuatan pengecut, apatah lagi apabila melibatkan serangan terhadap seorang kanak-kanak berusia 12 tahun.

Iklan
Iklan

“Pihak polis mesti bertindak segera untuk mengenal pasti penjenayah serta dalangnya dan mengheret mereka ke muka pengadilan.

“Sebagai seorang sahabat, saya amat bersimpati dengan keluarga saudara Rafizi. Sebagai ahli politik, saya bimbang terhadap keselamatan keluarga saya sendiri.

Iklan

“Sebagai rakyat Malaysia, saya sangat risau dengan keadaan negara kita,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Dalam kejadian sekitar jam 1.45 petang tadi, anak Rafizi — yang juga bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) — diserang dengan cara diheret dan dicucuk menggunakan jarum suntikan di sebuah pusat membeli-belah di Putrajaya.

Iklan

Rafizi memaklumkan, kejadian berlaku ketika beliau, isteri dan anak mereka mahu memasuki kereta untuk meninggalkan pusat membeli-belah berkenaan.

Serangan tersebut didakwa melibatkan dua orang lelaki berpakaian hitam sepenuhnya dan memakai topi keledar yang menutup keseluruhan wajah.

Sehubungan itu, Lih Kang, yang juga Naib Presiden PKR menggesa ahli politik dari semua parti agar bersolidariti dan berdiri teguh bersama keluarga Rafizi.

“Kita mesti bersama-sama menentang budaya jijik ini yang hanya akan merosakkan masa depan negara,” tegasnya.