MACHANG - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ditemukan lemas, dipercayai selepas dikejar seekor lembu semasa bermain lastik bersama tiga lagi sepupunya yang berusia lima tahun di Sungai Kaabah, Kampung Kelaweh, di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Muhammad Anaqi Syamin Azmi, dikatakan bermain di belakang rumah sepupunya selepas pulang dari sekolah.
Kerani yang bekerja dengan ibu mangsa, Siti Maizatul Azla Musa berkata, sebelum itu keempat-empat kanak-kanak terbabit telah dikejar lembu semasa bermain dan mereka dipercayai berlari menyelamatkan diri sehingga ke kawasan sungai yang terletak berhampiran.
"Kesemua mereka dikatakan terjatuh ke dalam sungai tersebut, namun tiga daripadanya berjaya diselamatkan oleh salah seorang bapa kepada kanak-kanak yang terlibat.
"Saya dimaklumkan bahawa dia (bapa kanak-kanak terlibat), yang kebetulan baru pulih daripada kecederaan akibat kemalangan, tidak menemui Muhammad Anaqi Syamin. Sementara yang lain berjaya diselamatkan kerana ada yang tergantung pada pokok dan kepala masih kelihatan semasa ditarik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurut Siti Maizatul Azla, ibu mangsa telah memintanya untuk menghubungi pihak bomba bagi mendapatkan bantuan.
Ujarnya, Muhammad Anaqi Syamin, yang merupakan anak kedua daripada empat beradik akhirnya ditemui oleh bapa saudaranya yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat bersama anggota bomba.
Katanya, pelajar Tahun Satu itu kini berada di Hospital Machang bagi tujuan bedah siasat.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Pegawai Bomba Kanan II, Muhamad Osman memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.22 petang dan tiba di lokasi 14 minit kemudian.
"Anggota telah membuat pencarian di sekitar lokasi yang dinyatakan dan pada jam 5.07 petang, mangsa telah dijumpai pada jarak 0.5 meter dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.