PUTRAJAYA – Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menolak kemungkinan memanggil Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh sebagai saksi penting dalam prosiding kes Titah Adendum.
Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihaknya boleh memanggil mana-mana saksi yang perlu sama ada melalui afidavit atau hadir secara fizikal di mahkamah.
“Kita boleh juga sapina beberapa saksi yang diperlukan...Sama ada dipanggil secara afidavit ataupun secara fizikal.
“Umpamanya, dalam kes Titah Adendum ini, kita boleh panggil Ahmad Terrirudin sendiri untuk mengetahui sama ada beliau menerima atau tidak (ketika memegang jawatan Peguam Negara),” katanya.
Menurutnya, pihak pembelaan juga berhak memanggil pegawai-pegawai tertentu di Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk membantu menentukan fakta dalam kes berkenaan.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan semua fakta dapat dibentangkan semasa proses perbicaraan dan semakan kehakiman berlangsung.
“Kita perlu melakukan penerbitan fakta secara gigih semasa perbincangan pemeriksaan judisial,” katanya.