[VIDEO] Warga emas maut dipercayai mangsa hutang along Singapura

Iklan

JOHOR BAHRU – Seorang wanita warga emas maut dalam kebakaran lima rumah di Kampung Bukit Siput, Segamat pada 25 Julai lalu, dipercayai menjadi mangsa hutang yang dibuat ahli keluarganya dengan sindiket along Singapura.

Ketua Polis Johor, Komisioner Ab Rahaman Arsad berkata, siasatan mendapati rumah mangsa menjadi sasaran suspek lelaki berusia 21 tahun diupah RM1,000 oleh sindiket along untuk membakar rumah peminjam yang gagal membayar hutang.

Iklan
Iklan

Ab Rahaman (dua dari kiri) menunjukkan tong minyak yang dirampas daripada suspek yang membakar rumah warga emas di Segamat.

"Siasatan awal pihak polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendapati wujud unsur-unsur khianat atau jenayah dalam kejadian ini. Polis Johor seterusnya menubuhkan pasukan khas.

Iklan

"Berdasarkan maklumat dan hasil risikan selama seminggu, polis berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 21 tahun bersama teman wanitanya berusia 19 tahun di Subang Jaya, Selangor dipercayai suspek," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, pada Rabu.

Iklan

Menurut Ab Rahaman, antara barangan yang dirampas ialah kereta Perodua Bezza, telefon bimbit, sarung tangan, pemetik api, cebisan kain dan tong minyak.

"Siasatan lanjutan mendapati suspek aktif melakukan jenayah khianat dengan api di sekitar Johor dan Selangor sejak Julai. Sindiket dipercayai berpangkalan di Singapura, namun operasi dijalankan oleh orang tempatan.

"Peminjam dalam kes ini adalah ahli keluarga mangsa, namun mangsa sendiri tidak pernah menerima ugutan dan menjadi mangsa keadaan kerana berada di rumah ketika kejadian," katanya.

Tambahnya, sebanyak empat kertas siasatan mengikut Seksyen 304B Kanun Keseksaan,Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

"Sebanyak 13 pertuduhan akan dikenakan terhadap suspek. Daripada jumlah itu sembilan pertuduhan akan disebut di Mahkamah Majistret Segamat pada Jumaat manakala empat lagi pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Johor Bahru selepas selesai prosiding di Segamat.

"Walaupun dua orang ditangkap (sepasang kekasih), hanya suspek lelaki akan dituduh. Suspek wanita dibebaskan dengan jaminan sebagai saksi pendakwaan," ujarnya.