YERUSALEM – Pihak Berkuasa Bomba dan Penyelamat Israel dikerah memadamkan kebakaran yang merebak di Hutan Beit Keshet dan Hutan Eshtaol pada Selasa, susulan gelombang haba yang melanda negara itu.
Menurut laporan KAN News, insiden bermula apabila sebuah kenderaan terbakar berhampiran Persimpangan Shimshon, berdekatan Beit Shemesh, sebelum api merebak ke kawasan hutan sekitar dan seterusnya ke Hutan Beit Keshet.
Iklan
Iklan
Polis Israel menutup Laluan 44 kepada semua kenderaan dan mengalihkan trafik dari kawasan berkenaan bagi memberi laluan kepada operasi memadam kebakaran.
Pesawat pemadam kebakaran turut dikerahkan untuk membantu anggota bomba di darat.
Israel kini berdepan salah satu gelombang haba paling ekstrem dalam tempoh beberapa dekad.
Suhu pada Selasa mencapai kemuncaknya dengan Kibbutz Gilgal di Lembah Jordan mencatatkan 47 darjah Celsius dengan kelembapan 26 peratus, manakala Yerusalem merekodkan 41.3 darjah Celsius.
Bagi mengurangkan risiko kebakaran dan melindungi keselamatan orang awam, Perkhidmatan Meteorologi Israel mengumumkan larangan penuh memasuki semua laluan pendakian di kawasan terbuka, termasuk taman negara dan rizab alam semula jadi, sehingga Sabtu, 16 Ogos.-Agensi