KUANTAN - Cubaan sebuah premis industri di Kawasan Perindustrian Tempoyang Mukim Kuala Lipis untuk menyimpan barang kawalan bersubsidi tanpa lesen tumpas apabila diserbu Ibu Pejabat Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Isnin.
Serbuan kira-kira jam 4.30 petang itu menerusi menerusi Op Taring Bravo 3 susulan maklumat berkaitan aktiviti tersebut.
Menurutnya kenyataan yang dikeluarkan Briged Tenggara PGA, hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan beroperasi dengan menyimpan gas bersubsidi dan gas industri tanpa lesen yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
"Sebanyak 679 unit tong berisi gas pelbagai jenama dan berat serta 6,155 unit tong gas kosong ditemukan di lokasi berkenaan.
"Seorang lelaki Melayu berusia 41 tahun yang bertindak sebagai penjaga premis ditahan turut ditahan," katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasmi agensi terbabit pada Rabu.
Kenyataan berkenaan turut memaklumkan sebuah kenderaan, sebuah forklift dan sangkar besi simpanan gas di dalam premis berkenaan telah disita.
Jelasnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1.03 juta.
"Kita serah perkara ini kepada KPDN Pahang untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.