Kereta terbabas bongkar sindiket curi kabel

Iklan
Beberapa gulung kabel yang telah dipotong serta peralatan mencurigakan tersimpan dalam kenderaan yang terbabas di Kilometer 29 Jalan Gerik-Kupang pada Selasa. Foto: Media sosial

GERIK - Satu kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 29 Jalan Gerik-Kupang di sini pada Selasa bertukar menjadi petunjuk penting kegiatan sindiket mencuri kabel.

Polis menemukan beberapa gulung kabel yang telah dipotong serta peralatan mencurigakan tersimpan dalam kenderaan tersebut.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan melibatkan MPV jenis Perodua Aruz kira-kira jam 8.28 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan itu terbabas sendiri dan melanggar tembok jalan sehingga terbalik.

Iklan

“Pemeriksaan lanjut mendapati tiada pemandu atau penumpang di lokasi, namun kita menemui beberapa kabel yang telah dipotong bersama peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan curi kabel.

“Penemuan ini membawa kepada siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, usaha sedang giat dilakukan bagi mengesan suspek yang dipercayai turut mengalami kecederaan.

Katanya, kerjasama pihak klinik dan hospital diperlukan dengan segera memaklumkan kepada polis sekiranya terdapat individu dengan kecederaan mencurigakan datang mendapatkan rawatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian kemalangan dan kecurian kabel ini diminta tampil membantu pihak polis bagi mengesan suspek terlibat," katanya.