'Inkues dibuat jika kematian tidak wajar atau mencurigakan'

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai kenyataan peguam, Shahlan Jufri akan memohon satu inkues diadakan sekiranya tiada sebarang tangkapan dibuat dan tiada tuduhan di mahkamah terhadap kes Zara Qairina. Gambar kecil: Alif

SHAH ALAM - Prosiding inkues akan dilakukan di hadapan Koroner yang lazimnya merupakan Hakim di mahkamah sesyen untuk menyiasat punca kematian seseorang, lebih-lebih lagi jika kematian itu berlaku secara mengejut tidak wajar atau dalam keadaan mencurigakan.

Peguam jenayah, Alif Tarmizi berkata, inkues bukan perbicaraan jenayah yang menentukan suspek dan penglibatannya dalam kes, tetapi lebih kepada mencari kebenaran mengenai cara kematian itu berlaku dan kebarangkalian wujud unsur jenayah.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, semasa perbicaraan inkues, Koroner akan memanggil kesemua saksi yang terlibat termasuk pegawai penyiasat, doktor, pegawai forensik dan lain-lain bagi mengemukakan laporan berkaitan antaranya hasil bedah siasat.

“Semasa prosiding tersebut, mereka akan ditanya lebih lanjut oleh pegawai pengendali inkues yang selalunya timbalan pendakwa raya dan boleh disoal balas peguam bagi mencabar sesuatu dapatan saksi mahupun untuk menjelaskan sesuatu fakta.

Iklan

“Pihak terlibat perlu menyampaikan hujah masing-masing berdasarkan keterangan yang diberikan sebelum Koroner membuat keputusan.

“Bukan itu sahaja, tempoh masa inkues juga berbeza-beza, bergantung tarikh lapang mahkamah, pihak terlibat, kesediaan saksi, jumlah saksi serta tahap kompleksiti sesuatu kes,“ katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Sebelum ini, Peguam, Shahlan Jufri mewakili Noraidah Lamat iaitu ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, akan memohon satu inkues diadakan sekiranya tiada sebarang tangkapan dibuat dan tiada tuduhan di mahkamah.

Jelasnya, inkues itu bertujuan untuk menyiasat punca sebenar kematian pelajar terbabit.

Beliau memberitahu, langkah tersebut akan dibincangkan bersama ahli keluarga selepas laporan bedah siasat dikeluarkan bagi menentukan tindakan yang bakal diambil.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai proses inkues, Aliff menambah, Koroner kemudiannya akan membuat kesimpulan mengenai punca kematian sama ada ia satu pembunuhan, bunuh diri, kemalangan atau lain-lain perkara di akhir prosiding.

Bagaimanapun jika mahkamah berpendapat wujudnya unsur jenayah di akhir inkues, Aliff berkata, timbalan pendakwa raya boleh mengarahkan pihak polis untuk menyiasat lebih lanjut dan membuat pertuduhan terhadap mana-mana individu yang terlibat.