Penjenamaan baharu Pantai Hospital Melaka, kukuh jalinan profesional

Iklan
Yew Aik ketika mengumumkan penjenamaan semula Pantai Hospital Melaka sempena Persidangan Perubatan 2025.

PANTAI Hospital Ayer Keroh secara rasmi melancarkan penjenamaan semula sebagai Pantai Hospital Melaka sekali gus memenuhi keperluan penjagaan kesihatan komuniti yang semakin berkembang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Hospital Melaka, Tan Yew Aik, pengenalan identiti baharu itu bukan sekadar penukaran nama semata-mata, tetapi lebih kepada penegasan semula komitmen terhadap kecemerlangan, inovasi dan penjagaan kesihatan yang mudah diakses.

Iklan
Iklan

“Nilai teras iaitu belas ihsan, integriti dan pendekatan mengutamakan pesakit kekal tidak berubah, malah jenama baharu ini meletakkan kami pada kedudukan untuk berkhidmat kepada pesakit serta rakan kerjasama dengan kekuatan capaian yang lebih besar.

“Persidangan pada tahun ini juga mencerminkan keyakinan kami bahawa pembelajaran berterusan adalah penting untuk meningkatkan hasil rawatan pesakit,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan penjenamaan semula Pantai Hospital Ayer Keroh sempena Persidangan Perubatan 2025 yang menghimpunkan rakan perunding dan pengamal am (GP) dari wilayah selatan.

Acara itu menjadi platform kolaboratif untuk memperkukuh hubungan profesional, mempromosikan pendidikan perubatan berterusan dan menyelaraskan amalan terbaik bagi penjagaan pesakit secara bersepadu.

Iklan

Peserta Persidangan Perubatan 2025 merakam kenangan bersama.

Persidangan tersebut turut menampilkan siri pembentangan oleh para perunding hospital mengenai pelbagai topik klinikal yang direka untuk menyokong dan memperkukuh amalan penjagaan primer.

Tambah beliau, pihaknya menghargai peluang untuk bersama rakan GP bertukar pengetahuan, berkongsi pandangan dan berusaha meningkatkan standard penjagaan kesihatan.

“Kami berterima kasih atas kepercayaan dan kerjasama berterusan daripada doktor rujukan. Dengan istilah ‘bersama’, kami berkongsi matlamat yang sama.

“Tidak hanya meningkatkan hasil kesihatan dan membina masa depan yang lebih sihat, bahkan kami bersedia untuk membawa komitmen ini ke tahap seterusnya,” ujarnya.

Pengenalan identiti baharu tersebut mencerminkan akar umbi hospital di Melaka dan peranannya sebagai destinasi utama penjagaan kesihatan bagi pesakit dari seluruh wilayah selatan, negeri bersebelahan dan luar negara.

Sebagai sebahagian daripada kumpulan Pantai Hospital di bawah IHH Healthcare Malaysia, Pantai Hospital Melaka berada pada kedudukan strategik untuk memperluas akses kepada perkhidmatan perubatan moden, kepakaran pakar dan penjagaan bersepadu dalam salah satu rangkaian penjagaan kesihatan swasta tertua di negara ini.