KUANTAN - Sebanyak 200 daripada 300 cip kasino di Genting Highlands bernilai RM2 juta berjaya dirampas selepas dicuri pada 2 Ogos lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata, rampasan itu dilakukan selepas seorang lelaki tampil menyerahkan cip kasino di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong pada Jumaat.
Menurutnya, berdasarkan siasatan, lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu membeli 200 cip kasino daripada suspek yang juga seorang `junket' pada hari kejadian.
"Lelaki tersebut telah memberikan pinjaman wang tunai RM2 juta kepada suspek berusia 44 tahun melalui dua orang pekerjanya dengan cip tersebut dijadikan cagaran.
"Urusan itu dilakukan secara serahan tangan di Lobi Genting Grand tanpa sebarang perjanjian bertulis manakala baki 100 cip bernilai RM1 juta masih berada pada suspek," katanya.
Beliau berkata sedemikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang pada Selasa.
Ujarnya, usaha mengesan suspek itu sedang giat dilakukan yang sudah melarikan diri ke luar negara.
Jelas beliau, pihak polis akan bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi membantu mengesan suspek.
Katanya, kes disiasat mengikut Seskyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.
Ujar beliau lagi, Senarai Pekeliling Khas (SPK A) telah dikeluarkan iaitu suspek akan ditahan jika kembali ke Malaysia.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki dikenali Victor Lee yang dipercayai bekas pekerja kasino itu diburu polis susulan kehilangan cip di sebuah bilik kasino tertutup.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.58 petang, suspek telah mengambil 300 keping cip bernilai keseluruhan RM3 juta milik syarikat semasa berada di meja.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek mengambil cip tersebut lalu beredar ke tempat parkir kereta sebelum meninggalkan kasino secara tergesa-gesa sebelum melarikan diri ke luar negara pada hari sama.