Dua lelaki di Aceh disebat 80 kali kerana perbuatan seksual

Iklan
Seorang pegawai polis mengiringi dua lelaki yang dituduh melakukan hubungan songsang ketika tiba di Mahkamah Syariah Banda Aceh bagi prosiding hukuman pada 11 Ogos 2025. – Foto: AP

BANDA ACEH – Mahkamah Syariah di wilayah Aceh, Indonesia pada Isnin menjatuhkan hukuman 80 sebatan di khalayak terhadap dua lelaki selepas polis syariah mendapati mereka terlibat dalam perbuatan seksual.

Perbicaraan di Mahkamah Syariah Daerah Banda Aceh itu dijalankan secara tertutup, selaras dengan peruntukan yang membolehkan hakim menghadkan akses awam bagi kes berkaitan zina dan hanya membuka sesi ketika pembacaan keputusan.

Iklan
Iklan

Kedua-dua lelaki berusia 20 dan 21 tahun itu ditahan pada April lalu selepas penduduk melihat mereka memasuki tandas yang sama di Taman Bandar Taman Sari, Banda Aceh, sebelum melaporkannya kepada polis syariah yang sedang membuat rondaan.

Polis memecah masuk ke dalam tandas dan mendapati kedua-duanya sedang berpelukan dan berciuman yang dianggap mahkamah sebagai perbuatan seksual.

Iklan

Aceh dikenali sebagai wilayah yang lebih tegas dalam mengamalkan ajaran Islam berbanding kawasan lain di Indonesia dan merupakan satu-satunya wilayah yang dibenarkan melaksanakan undang-undang Syariah.

Keputusan pada Isnin itu merupakan kali kelima Aceh menjatuhkan hukuman sebat di khalayak atas kesalahan homoseksual sejak undang-undang Syariah dikuatkuasakan pada 2015, susulan perjanjian damai bagi menamatkan pemberontakan pemisah yang berlarutan sekian lama.

Iklan

Undang-undang jenayah nasional Indonesia tidak memperuntukkan peraturan mengenai homoseksual, manakala kerajaan pusat juga tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan pelaksanaan undang-undang Syariah di Aceh. - Agensi