BERAU – Seorang lelaki berusia 33 tahun bertindak kejam apabila sanggup membunuh isterinya yang sedang hamil enam bulan serta dua anak kecil mereka dalam kejadian menggemparkan di Punan Mahakam, Kecamatan Segah, Kabupaten Berau, Kalimantan Timur, pada Ahad lalu.
Menurut Ketua Polis Berau, AKP Ngatijan, kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi waktu tempatan apabila bapa mangsa, NV, terdengar bunyi jeritan kuat dari rumah anak perempuannya.
“Sewaktu diperiksa, kedua cucunya ditemui tidak berdaya di bilik, manakala anak perempuannya terbaring dengan kecederaan parah di hadapan bilik mandi,” kata Ngatijan pada Isnin.
NV yang panik menjerit meminta pertolongan orang ramai, dan jiran yang mendengar jeritan itu datang ke lokasi kejadian sebelum berjaya menahan suspek.
Kesemua mangsa kemudian dibawa ke Pusat Kesihatan Tepian Buah sebelum dirujuk ke Hospital Umum Daerah Abdul Rivai di Tanjung Redeb.
Bagaimanapun ketiga-tiga mereka dilaporkan tidak dapat diselamatkan dan telah meninggal dunia.
“Anak sulung mangsa, NJ, berumur lima tahun, meninggal di tempat kejadian, manakala NS, empat tahun, dan ibunya, NO, meninggal dalam perjalanan ke hospital,” tambah Ngatijan.
Hasil pemeriksaan awal mendapati NO mengalami luka tusukan di perut, luka di leher serta lebam di beberapa bahagian badan.
NJ pula cedera di tangan, leher dan kepala, manakala NS mengalami luka tusukan di tangan, belakang badan, punggung dan kepala.
Polis kini menyiasat motif kejadian yang dipercayai berpunca daripada perselisihan rumah tangga.
“Suspek sudah ditahan dan sedang disoal siasat. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku akibat pertengkaran dalam keluarga,” jelas Ngatijan.