BALING - Dua wanita meninggal dunia akibat kemalangan di Kampung Rambong di sini, di mana salah seorang daripadanya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Baling pada Isnin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintenden Ahmad Salimi Md Ali berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang Ahad, pemandu wanita berusia 51 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurutnya, kemalangan membabitkan dua kereta di mana wanita tempatan bersama dua penumpang masing-masing berusia 61 tahun dan 37 tahun berada dalam satu kenderaan.
"Mereka dari arah madrasah di Bakai menghala ke Rambong terlibat kemalangan dengan sebuah lagi kereta yang dipandu lelaki warga tempatan berusia 27 tahun yang datang dari arah Kampung Teluk Durian menghala ke Baling.
"Akibat kemalangan tersebut, pemandu wanita cedera parah dan telah disahkan meninggal dunia," katanya.
Mayat dihantar ke Hospital Baling untuk bedah siasat.
Sementara itu, jam lebih kurang 1.30 petang Isnin, seorang lagi wanita iaitu penumpang hadapan telah disahkan meninggal dunia semasa sedang dirawat di Wad Kecemasan Hospital Baling.
Mayat dihantar ke Forensik Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar bagi proses bedah siasat.
Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.