8.6 juta rakyat terima STR Fasa 3 mulai esok

Iklan
Seramai 8.6 juta rakyat bakal menerima bayaran sehingga RM650 melalui STR Fasa 3 mulai esok, melibatkan peruntukan RM2 bilion. Foto hiasan

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Seramai 8.6 juta rakyat akan menerima bayaran sehingga RM650 menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 bermula esok.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembayaran itu melibatkan peruntukan RM2 bilion bagi meringankan beban kos sara hidup isi rumah berpendapatan rendah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jumlah penerima Fasa 3 meningkat 300,000 orang berbanding 8.3 juta penerima Fasa 1 pada Januari lalu, hasil pembukaan permohonan dan rayuan sepanjang tahun.

“Pembukaan permohonan dan rayuan sepanjang tahun menunjukkan Kerajaan Madani tidak mengambil enteng amanah untuk meningkatkan maslahat rakyat agar tiada yang tercicir daripada mengecapi limpahan negara,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, STR memberi suntikan kepada penerima untuk mencapai kebebasan kewangan demi menggapai kesaksamaan yang didambakan dalam Ekonomi Madani.

Pembayaran STR Fasa 3 akan dibuat kepada penerima sedia ada dan penerima baharu yang berdaftar dalam pangkalan data STR melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan masing-masing.

Iklan

“Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan,” katanya.

Semakan status kelayakan STR boleh dibuat di portal rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.

Dalam pada itu, Kementerian Kewangan turut mengingatkan orang awam supaya berwaspada terhadap pautan tidak sahih yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat berhubung STR.