Jenazah Zara Qairina selamat dikebumikan, orang ramai iringi zikir 'Lailahaillallah’

Iklan
Jenazah Zara Qairina selamat dikebumikan semula di Sipitang awal pagi Isnin. (Gambar kecil: Zara Qairina)

SIPITANG - Jenazah Zara Qairina Mahathir, 13, selamat dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol Lama di sini pada jam 1.15 pagi, Isnin.

Jenazah tiba dari Kota Kinabalu pada jam 12.42 tengah malam dengan diiringi pasukan polis selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) bagi mengetahui punca kematian pelajar sekolah agama di Papar itu.

Iklan
Iklan

Pada Sabtu lalu, kubur Zara Qairina digali semula atas arahan Jabatan Peguam Negara bagi membolehkan prosedur bedah siasat dilakukan terhadap jasad pelajar Tingkatan Satu berkenaan.

Sebelum itu, jenazah yang dibawa menaiki trak polis kira-kira jam 9.30 malam dari HQEI diiringi laungan kalimah tauhid ‘Lailahaillallah’ oleh orang ramai yang setia menunggu di pekarangan Jabatan Forensik.

Iklan

Sepanjang perjalanan, jenazah yang turut diiringi ibu mangsa, Noraidah Lamat, 45, disambut penduduk di sepanjang jalan di Beaufort sebelum tiba di tanah perkuburan bagi pengebumian semula.

Laporan penuh bedah siasat dijangka menjadi penentu langkah seterusnya, termasuk kemungkinan mengadakan prosiding inkues sekiranya keluarga tidak berpuas hati dengan hasil siasatan.

Iklan