Dipukul senior hingga mati, buah pinggang dan paru-paru hancur

Iklan
Keluarga Prada Lucky tidak dapat menahan kesedihan atas kematiannya di tangan senior. - Foto Agensi

MBAY - Seorang anggota tentera maut dipukul senior dalam satu kejadian menggemparkan.

Kejadian itu didedahkan Lusi Namo yang merupakan kakak mangsa dikenali sebagai Prada Lucky Chepril Saputra Namo yang meninggal dunia di Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) Aeramo, Kabupaten Nagekeo, Nusa Tenggara Timur (NTT), Indonesia pada Rabu lalu setelah menjalani rawatan intensif selama empat hari.

Iklan
Iklan

Prada Lucky merupakan anggota Batalion TP 834/WM Nagekeo, NTT.

Menurut Lusi, adiknya dipercayai telah didera secara fizikal oleh kira-kira 20 seniornya.

Iklan

"Seorang individu mengaku sebagai kekasih salah seorang anggota tentera itu menghantar mesej di Instagram. Dia dakwa teman lelakinya pernah mengirim gambar yang hanya boleh dilihat sekali memaparkan wajah Lucky dan kawannya berlumuran darah," lapor POS-KUPANG.com memetik kenyataannya pada Sabtu.

Ketika dibawa ke hospital, doktor mengesahkan buah pinggang dan paru-paru Prada Lucky sudah pun hancur hingga memerlukan tiga beg darah ketika rawatan.

Iklan

"Saya ada melihat kesan tapak kasut pada perut adik saya. Beberapa hari sebelum dia koma, adik saya ada membuat panggilan video dan keadaannya pada masa itu kelihatan agak baik.

"Dia ada bercerita pernah dipukul senior walaupun sedang sakit," kata Lusi lagi.

Susulan insiden itu, wakil keluarga mangsa, Otniel menuntut kepimpinan Tentera Nasional Indonesia (TNI) agar menyiasat kematian Prada Lucky.

"Pelaku tidak boleh dibiarkan. Mereka ibarat duri dalam daging. Kami sedia terima jika Prada Lucky gugur ketika sedang bertugas," tegasnya.

Difahamkan, upacara pengebumiannya telah dilakukan pada Sabtu dan istiadat persemadian itu bermula di Rumah Dinas Asrama Tentera (Asten), Kuanino, Kecamatan Kota Raja, Kota Kupang. - Agensi