Ehsan Dairy Farm bukti Selangor serius terajui sekuriti makanan - Amirudin

Iklan
Amirudin (tiga dari kiri) dan Mohamad Khairil (dua dari kanan) mengiringi Ahmad Zahid (tiga dari kanan) semasa melawat jagung bijirin selepas Majlis Pecah Tanah Kompleks Lembu Tenusu PKPS ‘EHSAN Dairy Farm’ di Ladang Sungai Tengi, Kuala Selangor pada Ahad. - FOTO ROSLI TALIB

KUALA SELANGOR – Projek Kompleks Lembu Tenusu Ehsan Dairy Farm yang dibangunkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bukan sekadar pembukaan sebuah ladang baharu, sebaliknya langkah berani dan strategik bagi memastikan Selangor kekal sebagai peneraju isu sekuriti makanan negara.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebagai negeri paling maju dan padat penduduk di Malaysia, Selangor tidak boleh hanya bergantung sebagai pengguna semata-mata.

Iklan
Iklan

“Kita mesti tampil sebagai pengeluar makanan strategik, daripada sawah padi hingga penternakan ayam, daripada kebun sayur hingga ladang tenusu moden yang mampu menyumbang kepada keperluan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pecah Tanah Kompleks Lembu Tenusu PKPS ‘EHSAN Dairy Farm’ di Ladang Sungai Tengi di sini pada Ahad.

Iklan

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Dr Mohamad Khairil Mohd Razi.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan Selangor akan memberi tumpuan kepada persediaan keselamatan bekalan makanan sebagai sebahagian daripada Rancangan Selangor yang bakal dibentuk untuk pembangunan negeri pada masa depan.

Iklan

Beliau berkata, walaupun negeri itu bukan pengeluar utama negara seperti negeri di Pantai Timur yang diiktiraf sebagai ‘kawah makanan’ dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), langkah untuk menjadikan Selangor lebih berdikari adalah keutamaan.

“Paling tidak, kita mahu negeri dan penduduknya mampu berdikari dalam aspek bekalan makanan. Dengan kepadatan penduduk yang tinggi, kita perlu membina ekosistem terbaik bagi memastikan keperluan ini dipenuhi,” katanya.

Amirudin menjelaskan, walaupun jumlah pengeluaran kecil, usaha memastikan negeri mampu berdikari dari segi makanan akan memberi impak besar, terutama sebagai negeri dengan kepadatan penduduk tertinggi.

Menurutnya, kelebihan Selangor yang memiliki Pelabuhan Klang dan kemungkinan pembinaan pelabuhan ketiga pada masa depan akan menjadi faktor utama kelancaran logistik dan bekalan makanan.

“Kita mahu pastikan bekalan sampai tepat pada masanya dan mengukuhkan kedudukan negeri sebagai hab logistik terbaik negara,” katanya.

Jelas beliau, keamanan dan kestabilan menjadi asas penting bagi memastikan Selangor terus berkembang pesat dan mampu melaksanakan pelbagai agenda pembangunan negeri.

“Tanpa kestabilan, negeri tidak dapat mempertahankan kepentingan sendiri apatah lagi memberi manfaat kepada pihak lain. Pengalaman beberapa tahun lalu menunjukkan, apabila tiada kestabilan, kita gagal melihat serta menyelesaikan isu tempatan.

“Sebab itu, hubungan baik dengan pentadbiran pusat perlu dipertahankan demi kebaikan bersama,” katanya.