KUALA SELANGOR – Kehilangan pendengaran akibat pendedahan bunyi bising berlebihan kekal sebagai penyakit pekerjaan tertinggi dilaporkan di negara ini sehingga Jun tahun ini.
Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Ir Mohd Hatta Zakaria berkata, masalah itu menyumbang sebahagian besar daripada 4,510 kes penyakit dan keracunan pekerjaan yang disahkan pihaknya daripada keseluruhan 5,712 kes yang diterima dan disiasat.
"Selain kehilangan pendengaran antara penyakit lain yang direkodkan ialah dermatitis kulit dan keracunan akibat pendedahan bahan kimia di tempat kerja," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Karnival Kerja Selamat dan Sihat Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) 2025 di Stadium Tertutup Kuala Selangor di sini pada Sabtu.
Mohd Hatta memberitahu, sehingga Jun lalu, JKKP turut menyiasat 5,175 kes kecederaan pekerjaan termasuk 108 kes maut.
"Setiap kes penyakit atau keracunan pekerjaan akan disiasat bagi memastikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerja sentiasa terpelihara," ujar beliau.
Mengulas mengenai karnival itu, Mohd Hatta berkata, pelaksanaan program itu bertujuan menguar-uarkan isu-isu berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di semua sektor khususnya informal.
“Ketika ini, kita sedang menjalankan kempen untuk mencapai sasaran 350,000 ikrar KKP dengan nilai integriti tinggi.
"Setakat ini, lebih 296,000 ikrar berjaya dikumpulkan dan sasaran akan dicapai dalam masa terdekat," tambah beliau.