Kes kucing diracun, dicampak dari pangsapuri dirujuk ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar

Iklan
Laporan Sinar Harian pada 17 Julai lalu.

AMPANG - Siasatan kes dera dan bunuh kucing di sebuah pangsapuri di sini dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Hulu Langat.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya telah menerima empat laporan berkaitan insiden itu pada Julai lalu.

Iklan
Iklan

"Tiada laporan diterima berkaitan kejadian itu pada bulan ini, namun pada bulan lalu kita terima empat laporan serta polis telah melawat lokasi kejadian.

"Tiada kertas siasatan dibuka kerana kes telah dirujuk dan dalam pengetahuan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Hulu Langat.," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Terdahulu, seorang kanak-kanak lelaki didakwa mencampak dua anak kucing dari tempat tinggi di pangsapuri berkenaan.  

Kejadian tidak berperikemanusiaan itu dikesan apabila beberapa gambar bangkai kucing dan kanak-kanak lelaki daripada rakaman kamera litar tertutup tular di media sosial. 

Iklan

Menerusi hantaran seorang pengguna akaun mendakwa dua anak kucing itu milik seorang penghuni tingkat lima pangsapuri terbabit yang diletakkan di dalam sangkar hadapan rumahnya.

Haiwan peliharaan itu didakwa dilarikan oleh kanak-kanak terbabit dan ditemui mati dengan kesan darah di tingkat empat bangunan sama.

Pada 17 Julai lalu, media melaporkan penduduk pangsapuri berkenaan meminta pihak berkuasa menyiasat secara terperinci serta mengambil tindakan terhadap pelaku kejadian penderaan dan pembunuhan kucing yang berlaku di kawasan itu.

Penduduk turut menuntut agar pelaku dikenakan hukuman setimpal mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015 susulan beberapa kejadian kejam melibatkan kucing yang didakwa diracun dan dibuang dari tingkat tinggi sejak awal Julai.