MUFT dicabar bangkit saingi tempo tinggi Selangor FC II

Iklan
MUFT akan berdepan Selangor FC II dalam aksi Liga A1 Semi-Pro di Petaling Jaya, pada Sabtu. Foto Malaysian University Football Team

PENGENDALI pasukan Malaysian University Football Team (MUFT), Yazli Yahya mencabar anak buahnya untuk bangkit daripada kekalahan sulung apabila turun menentang Selangor FC II dalam aksi Liga A1 Semi-Pro di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pada Sabtu.

MUFT memulakan kempen dengan langkah kiri selepas tunduk 0-1 kepada Kelantan WTS di Kota Bharu, namun Yazli percaya pasukannya mampu memberi saingan sengit kepada Selangor FC II kelab feeder yang terkenal dengan corak permainan berintensiti tinggi.

Iklan
Iklan

“Kami ada sedikit maklumat berkenaan pasukan lawan. Kami tahu mereka adalah pasukan yang kuat, namun kami juga ada perancangan tersendiri.

“Segalanya akan ditentukan dalam tempoh 90 minit perlawanan nanti,” katanya kepada Sukan Sinar.

Iklan

Mengulas mengenai andaian bahawa MUFT bakal mengambil pendekatan bertahan, Yazli menegaskan pasukannya akan kekal dengan identiti dan falsafah permainan sendiri.

“Kami akan bermain mengikut cara dan pendekatan yang telah kami praktiskan sepanjang sesi latihan. Cuma dari segi keserasian, ia masih memerlukan sedikit masa untuk diperbaiki,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, beliau menafikan anak buahnya terlalu menghormati lawan ketika menentang Kelantan WTS, sebaliknya menyifatkan faktor cuaca turut menyumbang kepada kekalahan tersebut.

“Kami cuba bermain seperti biasa, tetapi hujan yang turun pada hari perlawanan sedikit sebanyak menjejaskan rentak permainan.

“Pemain kerap tergelincir dan hilang kawalan bola dengan mudah,” jelasnya.

Yazli turut mengakui ketumpulan jentera serangan menjadi antara punca kegagalan pasukan meraih mata, walaupun mencipta beberapa peluang keemasan.

“Ya, kami mempunyai tiga peluang terbaik untuk menjaringkan gol dan berpeluang mendahului lawan, tetapi gagal disudahkan.

“Jadi, kami akan beri tumpuan untuk memperkemaskan bahagian serangan berdepan Selangor FC II,” katanya.