BERHAMPUR – Seorang lelaki berusia 30 tahun bersama dua kekasihnya ditahan pada Khamis kerana disyaki membunuh isterinya di Odisha, India.
Menurut pegawai polis, kejadian itu berlaku di perkampungan Nuagaon, Ganjam di bawah kawasan pentadbiran Balai Polis Bellaguntha pada Isnin.
Katanya, pekerja buruh, Santosh Naik bersama kekasihnya, Anita Naik, 26 dan Sruti Parida, 21 ditahan kerana disyaki membunuh isterinya, Puja Naik, 28, serta mendakwa kematian wanita tersebut sebagai kes bunuh diri.
Santosh berkahwin dengan Puja kira-kira 12 tahun lalu dan mempunyai empat orang anak, tiga perempuan dan seorang lelaki.
Ketiga-tiga suspek ditahan berdasarkan laporan bertulis yang dibuat oleh ibu mangsa, Shanti Naik dari kawasan Buguda di daerah berkenaan di Balai Polis Bellaguntha pada Isnin.
Menurut laporan tersebut, Shanti pergi ke rumah anak perempuannya selepas menerima panggilan telefon daripada Santosh yang memaklumkan bahawa Puja telah membunuh diri dengan menggantung diri.
Santosh tidak membenarkannya masuk ke rumah namun, Shanti melihat anaknya terbaring di lantai dalam keadaan berselimut kain.
Tambah laporan tersebut, Shanti mendakwa anak perempuannya kerap bertengkar dengan suami kerana mempunyai hubungan sulit dengan dua orang wanita.
“Suami Puja dan dua wanita rakannya sering menyeksa Puja secara fizikal dan mental. Mereka mungkin telah membunuhnya dan menyamarkan kematiannya sebagai bunuh diri,” kata Shanti dalam laporan polisnya.
Selepas menerima laporan berkenaan, polis bergegas ke lokasi kejadian, merampas mayat dan memulakan siasatan.
Ketua Balai Polis Bellaguntha, Rebati Sabar berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah seksyen berkaitan dalam Kanun Jenayah Bharatiya (BNS) berdasarkan laporan tersebut.
"Selepas memperoleh bukti awal semasa siasatan, ketiga-tiga suspek, termasuk Santosh dan dua kekasihnya, telah ditahan.
"Siasatan lanjut berhubung kes itu masih dijalankan, katanya.