BENTONG - Pihak polis mengesahkan kejadian pergaduhan yang tular di media sosial melibatkan seorang lelaki yang diserang di Kilometer 10.3, Jalan Genting Highlands (arah turun) di sini pada 3 Ogos lalu.
Sebelum ini, video berdurasi 1 minit 23 saat berkaitan kejadian itu mula tular di beberapa platform media sosial pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, mangsa yang berusia 32 tahun dalam perjalanan pulang dari Genting Highlands ke rumahnya di Subang Jaya, Selangor.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila suspek memandu secara berbahaya dengan menekan brek secara mengejut dan menghalang laluan mangsa.
“Selepas berjaya memotong kenderaan suspek, mangsa kemudian dikejar sebelum dilanggar dari belakang oleh suspek.
“Mangsa kemudiannya berhenti di lokasi kejadian sebelum diserang oleh suspek yang bertindak menumbuk muka mangsa serta mencederakan lehernya,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ujarnya, dua rakan mangsa iaitu seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 22 tahun turut berada di tempat kejadian dan berjaya meleraikan pergaduhan itu.
Zaiham berkata, susulan insiden berkenaan, pihak polis telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Suspek telah direman selama empat hari sehingga Khamis,” jelasnya lagi.
Beliau juga turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan kes tersebut masih dalam siasatan pihak polis.