Mujur dikejutkan rakan sebelum rumah hangus

Iklan
Wan Mazlan menunjukkan rakaman video api marak di penempatan setinggan di Jalan Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR - Seorang penghuni setinggan di Jalan Pantai Dalam, di sini terselamat daripada kebakaran pada Khamis selepas dikejutkan rakan ketika hampir terlelap di dalam bilik.

Menceritakan detik mencemaskan itu, Wan Mazlan Wan Majid, 45, berkata, sebelum kejadian dia berehat di dalam bilik selepas pulang bekerja.

Iklan
Iklan

"Semasa berehat dan hampir terlelap, tiba-tiba rakan rumah jerit beritahu ada api. Awalnya ingatkan macam elektrik 'short'.

"Mujur saya tak kunci pintu bilik saya, kalau tak memang tak dengar kawan panggil," katanya semasa ditemui pemberita di pusat pemindahan sementara di Sekolah Rendah Agama Al-Khawarizmi di sini pada Jumaat.

Iklan

Anggota bomba melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian kebakaran di Jalan Pantai Dalam, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Tambah Wan Mazlan, selepas dikejutkan rakannya, dia hanya hanya sempat mengambil beberapa barang peribadi seperti kad pengenalan dan telefon bimbit sebelum api menjadi lebih marak.

Iklan

Ujar pengawal keselamatan itu, walaupun kejadian itu menyebabkan mereka kerugian ribuan ringgit, namun dia bersyukur kerana tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan.

"Harap pihak berwajib dapat menghulur bantuan sebaiknya," ujarnya.

Bagi seorang lagi mangsa, Nik Maliki Nik Him, 41, berkata, dia dikejutkan dengan kebakaran rumahnya semasa berada di Cheras selepas dihubungi rakan kira-kira jam 11.30 malam.

Nik Maliki ketika ditemui di PPS pada Jumaat.

Menurutnya, dia terpaksa menanggung kerugian puluhan ribu ringgit apabila barangan elektrik, wang tunai serta koleksi keris antiknya terbakar.

"Saya ada dalam 150 bilah keris yang jadi koleksi sejak kecil. Ada yang harga RM3,000 dan paling mahal dalam RM25,000...semuanya rosak. Barang-barang ini sukar hendak cari semula.

"Semasa kejadian tiada penghuni di rumah, mujur ibu saya telah pulang ke kampung di Kelantan," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Lumpur, Kapten (PA) Mohamad Aminullah Zulkafly berkata, kebakaran menyebabkan kerosakan 15 unit rumah dan kedai.

Bomba melaksanakan pemantauan di sekitar lokasi kejadian kebakaran di Jalan Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

"Mangsa terdiri daripada 66 tempatan dan lapan warga asing.

"Ada di kalangan mangsa terdiri daripada kanak-kanak, bayi dan warga emas," ujarnya.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 11.11 malam sebelum sepasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai, BBP Hang Tuah, BBP Seputeh dan BBP Sri Hartamas dikejarkan ke lokasi.

Kebakaran memusnahkan sebahagian besar kawasan rumah setinggan dengan keluasan anggaran 100 x 80 kaki persegi.

Kebakaran turut merebak ke empat buah premis kedai berhampiran.