Eda Ezrin minta ruang, mohon jangan diganggu

Iklan
Penyanyi dikir barat Eda Ezrin (kiri) atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan, bersama ibunya Zahara Mamat, 47, setelah selesai diambil keterangan oleh pihak polis selama lebih tiga jam di Balai Polis Rantau Panjang malam Khamis. Foto Bernama.

KOTA BHARU - Penyanyi wanita sohor Kelantan, Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, memohon diberi ruang sementara menunggu suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35, yang masih berada di Depot Tahanan Imigresen Golok bagi menyelesaikan urusan dokumentasi sebelum dibenarkan pulang.

Menurut sumber terdekat, Eda Ezrin memilih untuk berdiam diri buat sementara waktu.

Iklan
Iklan

"Dia tunggu suami pulang ke sini (Kelantan). Kemudian akan bincang dengan suaminya, bila selesai semua itu barulah kumpul keluarga pula.

"Buat masa sekarang Eda Ezrin mohon jangan diganggu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini pada Jumaat.

Iklan

Sinar Harian pada Khamis melaporkan Eda Ezrin kembali ke pangkuan keluarga tercinta pada jam 11.40 malam setelah sembilan bulan berada di Penjara Pusat Wilayah Narathiwat.

Ibu kepada dua anak berusia lima dan sembilan tahun itu dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga selepas merakam keterangan di Balai Polis Rantau Panjang lebih tiga jam bersama rakannya, Nur Aida Mamat, 33.

Iklan

Eda Ezrin dan Nur Aida dibenarkan pulang ke Kelantan pada jam 6 petang selepas dibebaskan sepenuhnya dari tahanan Penjara Pusat Wilayah Narathiwat pada Rabu.

Bagaimanapun, suami Eda Ezrin, Mohd Affendi, Eridieka Mohd Noor, 33, Zuhaira Nasrin, 26, dan Mohamad Alif Deraman, 33, masih berada di Depot Tahanan Imigresen Golok untuk urusan dokumentasi sebelum dibenarkan pulang.

Eda Ezrin memilih pulang ke rumah ibu mentuanya di Kota Bharu.

Terdahulu, Eda Ezrin bersama suami dan empat rakan dibebaskan sepenuhnya dari tahanan Penjara Pusat Wilayah Narathiwat pada Rabu.

Pembebasan mereka dibuat selepas mahkamah menolak permohonan pendakwa raya untuk menyambung tempoh mengemukakan rayuan buat kali keenam pada Rabu.