PKR Perlis pertikai SAP untung RM1 juta, rakyat dapat apa?
Iklan
Noor Amin
KANGAR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perlis mempersoalkan kenyataan kerajaan negeri bahawa Syarikat Air Perlis (SAP) mencatat keuntungan sebanyak RM1 juta bagi tahun 2024, sedangkan prestasi syarikat itu dikatakan gagal memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.
Pengerusinya, Noor Amin Ahmad berkata, walaupun angka keuntungan tersebut kelihatan membanggakan, ia tidak selari dengan pendedahan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, yang memaklumkan bahawa SAP masih belum mencapai KPI yang ditetapkan.
Iklan
Iklan
"Di sini kita perlu bijak membaca. Keuntungan syarikat memang penting, tetapi tujuan penubuhan SAP bukanlah untuk menjana keuntungan semata-mata.
"Keuntungan hanyalah alat untuk SAP memberikan perkhidmatan yang lebih baik, dan setakat ini KPI tersebut belum tercapai. Inilah soalan sebenar saya yang gagal dijelaskan Menteri Besar (MB), Mohd Shukri Ramli, dan mereka yang cuba menangkis bagi pihaknya," katanya dalam satu kenyataan di platform X.
Iklan
Noor Amin dalam masa yang sama tidak mempersoalkan kenaikan kadar tarif air, namun meminta Mohd Shukri menjelaskan apa yang menarik dengan kenaikan tersebut, sedangkan sebelum ini Menteri Besar itu telah memberi komentar sinis tentang ‘menariknya’ jika harga minyak turun 60 sen.
"Hasil semakan, saya tahu sebanyak RM1.3 juta telah diperuntukkan untuk menggantikan paip di 11 kampung pada tahun 2023. Sebanyak RM26 juta telah dipohon oleh SAP daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan kerajaan negeri Perlis untuk menggantikan paip di 18 kampung serta menaik taraf sistem retikulasi dan pam air pada tahun 2024.
Iklan
"Di bawah pendekatan seterusnya, keseluruhan perbelanjaan modal (CAPEX) adalah sebanyak RM7.7 bilion, merujuk kenyataan TPM di Parlimen," katanya.
Beliau berkata, terdapat RM1.37 bilion lagi yang diperuntukkan kerajaan secara bertahap dan boleh dipohon oleh kerajaan negeri Perlis seperti yang dirujuk dalam jawapan menteri kepada soalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kangar.
"Saya sebenarnya mengharapkan MB menjawab dan memberi pencerahan yang menggembirakan tentang apa yang menarik dalam beberapa hal, misalnya liputan perbekalan air akan mencapai 100 peratus di luar bandar dalam masa dua tahun dan purata rizab margin bekalan air yang kini kritikal akan dinaikkan ke tahap margin ideal dalam tempoh 10 tahun.
"Selain itu, kadar air tidak berhasil (NRW) akan diturunkan kepada 38 peratus sebagaimana sasaran peruntukan Persekutuan bagi negeri Perlis pada tahun 2029, kualiti air terawat di Perlis mencapai tahap 100 peratus dalam masa dua tahun dan memastikan aduan ditangani dalam tempoh kurang 24 jam bagi kes biasa," ujarnya.
Beliau menuntut penjelasan memandangkan katanya, rakyat Perlis juga mahu tahu apa yang menarik untuk mereka.
"Pastilah mereka gembira jika bekalan air tidak kerap terputus, tidak perlu menahan air pada waktu tertentu, atau mengangkut air dari tempat lain, atau menunggu bantuan air tiba. MB juga mahukan yang menarik, bukan?," soalnya.
Perubahan pengurusan sejak kira-kira tiga tahun lalu berjaya mengubah wajah Blok E1 dan E2 Flat Teluk Indah, Perai apabila keadaan kebersihan, penyelenggaraan serta pengurusan parkir dilihat jauh lebih baik berbanding sebelum ini.
Namun, usaha berkenaan masih belum mampu menghapuskan sepenuhnya imej kotor yang sekian lama membelenggu kedua-dua blok tersebut apabila sikap segelintir penghuni yang tidak bertanggungjawab terus menjadi punca utama masalah.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/788634/edisi/utara/sikap-penghuni-terus-menjadi-musuh-utama-flat-teluk-indah
Muzik: Elevate dari www.bensound.com
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.