Koperal maut dirempuh suspek pecah rumah

Iklan
Lokasi kejadian seorang koperal polis maut dirempuh suspek pecah rumah di Taman Golf, Alor Setar. Gambar kecil: Adzli

ALOR SETAR – Seorang anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah maut selepas dirempuh suspek kes pecah rumah ketika menjalankan tugas di Taman Golf, di sini pada petang Khamis.

Mangsa, Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dilanggar sebuah kenderaan jenis Lexus yang dipandu suspek ketika cuba melarikan diri.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Kedah, Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang selepas pihaknya menerima maklumat awam berhubung aktiviti mencurigakan di sebuah rumah di kawasan berkenaan.

“Lima anggota JSJ digerakkan ke lokasi. Sebaik tiba, mereka mendapati suspek sedang cuba mencuri peti besi dari rumah terbabit,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Iklan

Jelas Adzli, salah seorang suspek bertindak agresif dengan merempuh mangsa yang baru keluar dari kenderaan pasukan, menyebabkan mangsa cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, seorang suspek berjaya ditahan di lokasi, manakala tiga lagi melarikan diri menggunakan kenderaan sama yang mengalami kerosakan akibat pelanggaran.

Iklan

“Tiga suspek itu turut melarikan sebuah kereta yang dinaiki sepasang suami isteri warga emas di sebuah hotel.

"Suspek telah menarik keluar pemandu lelaki dan turut membawa bersama isteri mangsa yang berada di bahagian penumpang hadapan.

"Kereta yang dilarikan suspek kemudian terlibat dalam kemalangan di Kepala Batas sebelum polis berjaya menahan kesemua suspek di sekitar kawasan berkenaan,” ujarnya.

Tambah beliau, kesemua suspek berusia antara 24 hingga 26 tahun dan dipercayai berasal dari Johor.

Menurutnya, semakan mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai 77 rekod jenayah lampau, kebanyakannya membabitkan kes pecah rumah dan curi kenderaan.

“Dua lagi masing-masing mempunyai 30 dan enam rekod, manakala seorang lagi mempunyai dua rekod lampau.

“Modus operandi mereka menunjukkan ia adalah kumpulan pecah rumah yang bergerak antara negeri. Kami sedang siasat sama ada serbuan ini dilakukan secara rambang atau berdasarkan maklumat dalaman,” jelasnya.

Dalam pada itu, hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan umpil dan kerosakan pada pintu rumah terbabit, namun tiada penghuni berada di rumah semasa kejadian.

Katanya, kedua-dua kenderaan yang digunakan suspek termasuk yang merempuh anggota dan satu lagi yang dicuri telah berjaya ditemui semula.

“Mohd Hafizul berasal dari Setiu, Terengganu meninggalkan seorang isteri dan empat anak berusia antara empat hingga 11 tahun.

“Beliau gugur ketika bertugas. Kehilangannya amat dirasai oleh seluruh pasukan. Kita akan pastikan keadilan ditegakkan,” ujar Adzli.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 457 kerana menceroboh dan pecah rumah.

Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian atau keluarga mangsa.