SHAH ALAM – Taktik licik sindiket penyeludupan rokok menggunakan lori bonded terbongkar apabila tiga lelaki, termasuk dua warga asing diberkas dalam satu serbuan di sekitar Shah Alam pada Isnin.
Serbuan yang dijalankan pada jam 8.15 malam itu dilaksanakan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah menerusi Op Taring Alpha 1, hasil risikan yang dilakukan lebih awal.
Komander Briged Tengah PGA, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 40 hingga 42 tahun.
Menurutnya, sindiket tersebut dikenal pasti aktif menjalankan kegiatan penyeludupan rokok tidak bercukai di sekitar Selangor dengan menggunakan lori bonded sebagai helah untuk mengangkut barangan seludup.
“Hasil serbuan, PGA berjaya merampas sejumlah besar rokok tidak bercukai pelbagai jenama, sebuah lori jenis bonded, serta beberapa telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penyeludupan.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM10.3 juta,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati sindiket beroperasi secara aktif pada waktu petang dan menjadikan beberapa lokasi di sekitar Shah Alam sebagai pusat penyimpanan rokok seludup sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Kesemua suspek ditahan dan siasatan dijalankan mengikut Akta Kastam 1967 serta Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Menurut Hakemal, PGA kekal komited dalam membanteras sebarang aktiviti penyeludupan demi memastikan keselamatan negara dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
“Orang ramai diminta menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berhubung sebarang kegiatan penyeludupan di kawasan masing-masing,” katanya lagi.