NEW YORK - Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memaklumkan bahawa purata 28 kanak-kanak terbunuh setiap hari di Gaza akibat pengeboman berterusan oleh Israel dan kebuluran yang telah berlarutan selama lebih 660 hari, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
Dalam satu hantaran di platform X, UNICEF menyatakan: “Kematian akibat pengeboman. Kematian akibat kekurangan zat makanan dan kebuluran. Kematian kerana kekurangan bantuan dan perkhidmatan penting. Di Gaza, purata 28 kanak-kanak setiap hari – bersamaan saiz sebuah bilik darjah – telah terbunuh.”