SHAH ALAM – Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat melawat mesin pengutip sampah, Interceptor 002 di Sungai Klang.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Exco Pertanian dan Infrastruktur Selangor, Datuk Izham Hashim.
Iklan
Iklan
Baginda berkenan meninjau sendiri pengoperasian kapal automatik bertenaga solar itu yang berfungsi memerangkap dan mengutip sampah terapung di permukaan Sungai Klang sebelum ia mengalir ke laut.
Dalam lawatan tersebut, baginda turut berkenan menyaksikan Majlis Perasmian Kerjasama Strategik antara MUFG Bank (Malaysia) Bhd dan Affin Bank Berhad yang akan menaja kos operasi Interceptor 002.
Affin Bank akan menaja sejumlah RM1.5 juta bagi tempoh tiga tahun, manakala MUFG Bank memperuntukkan sumbangan sebanyak RM250,000.
Setakat ini, projek pembersihan sungai sepanjang kira-kira 56 kilometer di bawah inisiatif Selangor Maritime Gateway (SMG) telah berjaya mengutip hampir 500,000 tan metrik sampah dan lumpur bagi memastikan pemulihan Sungai Klang dapat dicapai dalam tempoh lima tahun.
Menurut kenyataan Selangor Royal Office di laman Facebook rasmi pada Selasa, usaha ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dan sektor korporat dalam menjaga kelestarian alam sekitar serta kebersihan sungai di negeri ini.